LOS ANGELES: Sejumlah mangsa penderaan seksual oleh bekas doktor pasukan gimnastik kebangsaan Amerika Syarikat (AS) bakal menerima pampasan sebanyak AS$380 juta (RM1.6 bilion) selepas kes itu mencapai penyelesaian dengan pihak berkaitan.
Penyelesaian itu, antara yang terbesar pernah direkodkan bagi mangsa penderaan seksual secara tidak langsung menamatkan perjuangan undang-undang selama lima tahun susulan skandal penderaan yang dilakukan oleh Larry Nassar.
Nassar, 58, kini menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas dia mengaku bersalah pada akhir 2017 dan awal 2018 bagi tuduhan melakukan serangan seksual terhadap atlet ketika bekerja sebagai doktor perubatan sukan di Gimnastik AS (USAG) dan Universiti Negeri Michigan (MSU).
Ratusan wanita termasuk beberapa pemenang pingat emas Olimpik seperti Simone Biles, Aly Raisman dan McKayla Maroney menuduh Nassar mendera mereka secara seksual sepanjang perkhidmatannya selama lebih dua dekad.
Penyelesaian itu turut melibatkan tuntutan daripada Biles, Raisman dan Maroney.
Ini bermakna, kira-kira AS$880 juta (RM3.7 bilion) penyelesaian sudah dicapai selepas MSU bersetuju membayar pampasan sebanyak AS$500 juta (RM2.1 bilion) pada 2018.
“Kemenangan ini adalah disebabkan oleh keberanian dan ketabahan mangsa,” kata peguam John Manly mewakili lebih 180 wanita yang didera Nassar dalam satu kenyataan.
Seorang daripada mangsa Nassar, Rachael Denhollander merupakan wanita pertama yang mendedahkan perbuatan Nassar secara umum pada 2016 amat gembira dengan penyelesaian tersebut.
“Akhirnya mimpi ngeri ini sudah sampai ke penghujungnya. Kini, sudah tiba masa untuk kita kerja keras bagi melakukan perubahan dan bina semula apa yang kita mahu,” tulisnya dalam Twitter. – AFP