BANGKOK: Lebih 40 peratus rakyat Thailand menolak kasino perjudian ‘dihalalkan’ mengikut undang-undang kerana beranggapan sektor itu hanya menyebabkan masyarakat di negara ini ‘terjebak dengan lebih banyak masalah’.
Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh NIDA Poll terhadap 1,318 responden berusia 18 tahun ke atas di seluruh Thailand, sebanyak 46.5 peratus berpendapat kasino hanya mewujudkan lebih banyak ‘tahi judi’, menjejaskan kestabilan dalam institusi kekeluargaan, masalah hutang dan meningkatkan kegiatan jenayah.
Selain itu, masyarakat di negara ini menolak perjudian dibenarkan dalam undang-undang kerana berpandangan perbuatan itu bertentangan dengan ajaran agama Buddha.
Kaji selidik itu juga menunjukkan 93.7 peratus rakyat Thailand tidak pernah mengunjungi kasino dan 4.4 peratus memaklumkan mereka pernah masuk ke kasino, namun di luar negara.
Sebanyak 68.5 peratus penduduk turut menolak kerajaan membenarkan perjudian secara dalam talian dengan alasan yang sama, iaitu perjudian lebih banyak merugikan berbanding mendatangkan keuntungan.
Sementara itu, 21.3 peratus responden pula bersetuju untuk menghalalkan perjudian di negara ini kerana mereka berpandangan, sektor itu boleh meningkatkan ekonomi Thailand menerusi percukaian.
Responden juga menyatakan jika perjudian dibenarkan, mereka tidak perlu ke luar negara.