AUSTRALIA: Rakyat Australia berkemungkinan perlu menerima dua atau tiga suntikan vaksin Covid-19 setiap tahun untuk mengekalkan antibodi terhadap virus itu, bergantung kepada hasil keberkesanan suntikan dos penggalak.
Data mingguan yang diterbitkan oleh Agensi Keselamatan Kesihatan Britain menunjukkan keberkesanan kedua-dua dos penggalak Pfizer dan Moderna adalah lebih rendah mencegah varian Omicron berbanding varian Delta.
Analisis tersebut adalah hasil ujian daripada 147,597 jangkitan varian Delta dan 68,489 jangkitan varian Omicron di Britain.
Data menunjukkan kedua-dua dos penggalak Pfizer dan Moderna mempunyai keberkesanan 90 peratus terhadap penyakit simptomatik daripada varian Delta sehingga sekurang-kurangnya sembilan minggu.
Sebaliknya, keberkesanan terhadap varian Omicron adalah kira-kira 30 peratus, jauh lebih rendah dan kelihatan semakin berkurangan selepas sembilan minggu.
Pakar perubatan di Australia berkata, keputusan melebihi set data 12 minggu diperlukan untuk mendapatkan gambaran jangka panjang.
Pakar Kesihatan di Universiti Curtin, Prof. Jaya Dantas berkata, masih terlalu awal untuk memahami keberkesanan vaksinasi tetapi semakin jelas terdapat keperluan untuk dos penggalak.
“Anda mungkin memerlukan dos penggalak sama ada dua atau tiga kali setahun,” katanya.