LONDON: Kegigihan dan semangat juang tinggi ditunjukkan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Sultan Hassanal Bolkiah semasa mengikuti latihan kursus All Arms Commando (AACC) selama 13 minggu di Commando Training Centre Royal Marines (CTCRM), Lympstone, United Kingdom membuahkan hasil.
Pelita Brunei melaporkan, ini kerana baginda berjaya menamatkan kursus tersebut dan dikurniakan ‘Beret Hijau’.
Sejurus selepas majlis tamat latihan, baginda bertitah, kursus AACC adalah satu kursus yang sangat mencabar sepanjang tempoh tiga bulan.
Bagaimanapun, titahnya, peluang mewakili Brunei merupakan faktor yang membakar semangat baginda untuk terus bertahan.
Menyentuh mengenai kursus latihan tersebut, titah Putera Mateen, AACC adalah kursus paling mencabar dari segi fizikal dan mental.
Sementara itu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan berangkat menyaksikan majlis tamat latihan itu di sini.