CALIFORNIA: Sebuah pesawat angkasa lepas Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) berjaya mendekati matahari dengan jarak paling dekat daripada yang pernah dilakukan objek buatan manusia lain.
NASA membuat pengumuman tersebut Selasa lalu mengenai kejayaan pesawat itu yang ‘menyentuh’ atmosfera matahari yang dikenali sebagai korona.
Pengumuman itu dibuat semasa pertemuan American Geophysical Union selepas pesawat itu menempuh perjalanan sejauh 150 juta kilometer dari Bumi.
Pencapaian signifikan NASA menerusi pesawat Parker Solar Probe yang berjaya melintasi korona selama lima jam, April lalu.
Sebelum ini, pesawat itu berjaya melakukan kontak jarak dekat sebanyak lapan kali dengan sistem suria tersebut.
Pegawai NASA, Thomas Zurbuchen berkata, kejayaan pesawat itu menyentuh matahari adalah detik paling membanggakan dalam sistem solar dan pencapaian yang begitu bermakna.
Kapal angkasa lepas itu berjaya mengembara sejauh 13 juta kilometer dari pusat matahari dengan kelajuan 100 kilometer per saat.
Sementara itu, Saintis Projek di Johns Hopkins University berkata, pencapaian itu adalah sangat membanggakan dan menjelaskan keadaan korona yang lebih berdebu daripada yang dijangka.-AGENSI