LONDON: Seorang psikik yang dikenali sebagai Nicolas Aujula sebelum ini pernah meramalkan pandemik Covid-19 dan wawancara sensasi antara Meghan Markle dengan Oprah Winfrey mengenai kerabat diraja Britain berlaku pada tahun ini.
Kini, Aujula sekali lagi ‘mencetuskan kebimbangan’ apabila dia mula meramal apa yang berlaku pada tahun depan, termasuk kebangkitan China untuk mendominasi dunia.
Selain itu, lelaki berusia 36 tahun tersebut juga pernah meramalkan demonstrasi Black Lives Matter dan pembunuhan seorang wanita muda yang menggemparkan Britain, iaitu kes Sarah Everard.
Aujula memberitahu, dia mempunyai ‘banyak kehidupan lampau’ dan sering mendapat bayangan mengenai masa depan.
“Pada tahun 2022, saya meramalkan asteroid akan menghampiri Bumi, namun laluannya dilencongkan dan bencana tidak berlaku, selain peluru berpandu tentera juga selamat dipintas.
“Namun, apa yang menjadi kebimbangan saya adalah pada tahun depan, kegiatan kumpulan kultus atau ajaran sesat akan berkembang di seluruh dunia, sekali gus boleh menjejaskan kestabilan,” katanya.
Selain itu, Aujula juga meramalkan insiden keganasan akan berlaku di Paris, namun tidak menjelaskannya dengan lanjut.
Lelaki itu turut mendapat bayangan, satu lagi insiden tembakan rambang bakal berlaku di Amerika Syarikat (AS) dengan seorang individu dikenali akan menjadi mangsa bunuh.
Tahun depan juga bakal menyaksikan China menjadi kuasa dominan, malah perkataan dan ayat dalam bahasa Cina akan digunakan oleh masyarakat dunia setiap hari.