WASHINGTON: Agensi Perisikan Amerika Syarikat (AS) berjaya mengesan tempat penghasilan peluru berpandu balistik di Arab Saudi yang dibina dengan bantuan China.
Gambar satelit yang diambil oleh sebuah syarikat pengimejan komersial, Planet antara 26 Oktober hingga 9 November lalu, menunjukkan operasi berlaku di sebuah kemudahan berhampiran Dawadmi, Arab Saudi.
Penyelidik di Institut Pengajian Antarabangsa Middlebury memberitahu, imej itu adalah bukti yang jelas kemudahan itu beroperasi bagi menghasilkan peluru berpandu.
Lapor CNN, perkembangan itu boleh mencetuskan ketegangan di seluruh Asia Barat sekali gus menyukarkan usaha Joe Biden menghalang cita-cita besar Iran terhadap pembangunan nuklear.
Arab Saudi difahamkan pernah membeli peluru berpandu balistik dari China, namun tidak mempunyai keupayaan membina teknologi itu sendiri.
Maklumat sulit itu diperoleh dari tiga sumber perisikan yang mendedahkan Kerajaan Arab Saudi membina kelengkapan persenjataan tersebut sekurang-kurangnya di satu lokasi.
Pegawai AS dari pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Kebangsaan di White House dimaklumkan tentang usaha pemindahan berskala besar teknologi peluru berpandu balistik sensitif antara China dengan Arab Saudi.
Pentadbiran Biden kini berhadapan dengan persoalan yang semakin mendesak sama ada kemajuan peluru berpandu balistik Arab Saudi boleh mengubah dinamika kuasa serantau secara dramatik serta merumitkan usaha meluaskan syarat perjanjian nuklear dengan Iran bagi memasukkan sekatan terhadap teknologi baharu peluru berpandunya sendiri.
Iran dan Arab Saudi merupakan seteru tradisi dan Tehran dilihat tidak akan menghentikan pembuatan peluru berpandu balistik sekiranya Arab Saudi membina teknologi tersebut.
TAK CABUL UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA
Pakar Persenjataan Institut Kajian Antarabangsa Middlebury, Prof. Jeffrey Lewis berkata, walaupun perhatian penting tertumpu kepada program peluru berpandu balistik besar Iran, namun, pengeluaran peluru berpandu balistik Arab Saudi tidak mendapat penelitian yang sama.
“Pengeluaran peluru berpandu balistik domestik Arab Saudi menunjukkan sebarang usaha diplomatik mengawal percambahan peluru berpandu perlu melibatkan negara serantau lain seperti Israel yang menghasilkan peluru berpandu balistik mereka sendiri,” jelasnya.
Sebarang tindak balas AS boleh menjadi rumit dengan pertimbangan diplomatik terhadap China.
Pentadbiran Biden dilihat berusaha melibatkan semula Beijing dalam beberapa isu dasar lain termasuk perubahan iklim, perdagangan dan wabak.
Dalam pada itu, ditanya sama ada terdapat usaha pemindahan terbaru teknologi peluru berpandu balistik antara China dan Arab Saudi, Jurucakap Kementerian Luar China berkata, kedua-dua negara itu merupakan ‘rakan strategik komprehensif’ dan mengekalkan kerjasama dalam semua bidang termasuk bidang perdagangan tentera.
“Kerjasama itu tidak mencabul mana-mana undang-undang antarabangsa dan tidak melibatkan pertambahan senjata pemusnah besar-besaran,” katanya.
AS DALAM DILEMA
CNN pernah melaporkan berita tersebut buat kali pertama pada 2019, mengenai agensi perisikan AS menyedari usaha kerjasama Arab Saudi dengan China bagi membangunkan program peluru berpandu tersebut.
Pakar Dasar Nuklear dan Senjata di Carnegie Endowment for International Peace, Ankit Panda berkata, kebiasaannya AS akan menekan Arab Saudi supaya tidak meneruskan keupayaan tersebut.
Namun, jelasnya, petunjuk pertama menunjukkan Arab Saudi mengejar pembangunan teknologi itu semasa zaman pentadbiran Donald Trump.
“Pentadbiran Trump dilihat tidak berminat mengecilkan Riyadh mengenai isu ini,” katanya.
Sumber turut memberitahu CNN, beberapa penggubal undang-undang diberi taklimat sejak beberapa bulan lalu mengenai pemindahan teknologi antara kedua-dua negara tersebut.
White House dibimbangi tidak bersedia mengenakan sebarang sekatan terhadap Arab Saudi atas tindakan tersebut, memandangkan keadaan semasa rundingan dengan Iran menyukarkan masalah yang sudah berlarutan lama.