PHUKET: Pihak berkuasa Thailand memaklumkan keadaan pantai peranginan yang sunyi akibat pandemik Covid-19 menyaksikan sejumlah penyu Agar naik bertelur.
Tempat penyu bertelur di pantai sekitar Phuket dikesan oleh pasukan saintis negara ini pada bulan lalu dan dalam tempoh dua bulan, kesemua telur berkenaan akan menetas.
Antara Oktober 2020 dan Februari 2021, sebanyak 18 tempat penyu belimbing bertelur dikesan di Phuket.
Pengarah Pusat Biologi Marin Phuket, Kongkiat Kittiwatanawong berkata, tempat penyu bertelur semakin bertambah dalam tempoh dua tahun lalu susulan pandemik.
“Kami tidak pernah menemukan banyak tempat penyu bertelur dalam tempoh 20 tahun lalu dan biarpun peluang untuk semua anak penyu yang menetas hidup sehingga dewasa, kami tetap gembira dengan perkembangan ini,” katanya.
Namun, ketika Thailand mula membuka semula pintu sempadan kepada pelancong asing, timbul kebimbangan mengenai perkembangan positif itu.
Pakar hidupan marin dari Universiti Kasetsart di Bangkok, Thon Thamrongnawasawat berkata, tanpa polisi yang berkesan untuk melindungi spesies terancam itu, penyu mungkin akan pupus buat selamanya dalam tempoh terdekat.
“Kehadiran pengunjung ke kawasan pantai mungkin membantutkan usaha penyu untuk bertelur dan keadaan itu dikhuatiri berterusan,” ujarnya.
Sehubungan itu, pihak berkuasa Thailand kini bertungkus-lumus melindungi sebahagian telur penyu yang ditemukan sehingga semuanya menetas dan dilepaskan ke laut. – AFP