MANCHESTER: Seorang pemilik rumah tidak menyangka rumah yang disewanya kepada seorang penyewa dipenuhi dengan longgokan sampah dan najis manusia.
Danny Hernon, 54, mula mencurigai ada yang tidak kena selepas penyewa tersebut enggan memulangkan kunci rumah biarpun dia sudah berpindah sejak lebih sebulan lalu.
Disebabkan itu, Hernon pergi ke rumah sewanya dan mendapati setiap sudut kediaman tersebut dipenuhi dengan sampah-sarap dan najis manusia.
Tidak dapat dipastikan bila kali terakhir Hernon datang melawat rumah tersebut, namun keadaan yang dilihatnya amat mengejutkan.
Lebih mengecewakan, bekas penyewa rumah itu turut mencadangkan kepada Hernon supaya menggunakan duit deposit berjumlah 500 pound (RM2,807) untuk membersihkan rumah tersebut.
Jelas Hernon, jumlah itu terlalu sedikit untuk membersihkan keseluruhan rumah dan memaklumkan dia perlu mengeluarkan belanja sekurang-kurangnya 15,000 pound (RM84,215) bagi tujuan berkenaan.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk gambarkan keadaan di rumah saya ketika ini. Situasinya amat teruk dengan sampah di sana sini.
“Bagaimana dia boleh hidup dalam keadaan kotor dan jijik seperti ini? Soalnya.