NEW YORK: Seorang penumpang wanita didakwa memberikan susu badan kepada kucing peliharaannya di dalam pesawat.
Wanita itu dilaporkan bertindak sedemikian di depan kru penerbangan sehingga membuatkan penumpang lain tidak berasa selesa.
Lapor New York Post, wanita yang tidak dikenali itu berada dalam penerbangan Delta Airlines dari Syracuse, New York ke Atlanta, Georgia.
Tanpa diduga, dia menyusukan kucingnya tanpa segan silu walaupun diminta menghentikan perbuatan tersebut oleh pramugari dan memasukkan semula kucingnya ke dalam sangkar.
Sebuah gambar yang beredar dalam media sosial menunjukkan kru penerbangan menghantar mesej ke Aircraft Communications Addressing and Reporting System.
“Seorang penumpang di kerusi 13A menyusukan kucing dan tidak memasukkan kucing ke dalam sangkar ketika diminta pramugari,” tulis mesej itu yang meminta pasukan Red Coat Delta menyelesaikan masalah tersebut ketika pesawat mendarat.
Red Coat Delta adalah ‘pakar perkhidmatan pelanggan di lapangan terbang’ yang dilatih secara khusus menangani masalah pelanggan.
Insiden aneh itu turut dimuat naik oleh pramugari, Ainsley Elizabeth dalam TikTok.
“Wanita itu memiliki kucing tidak berbulu yang dibungkus dengan selimut sehingga dilihat seperti seorang bayi,” katanya.