LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson melaksanakan sekatan Covid-19 yang lebih ketat di England, menyaksikan arahan bekerja dari rumah dikeluarkan, diwajibkan memakai pelitup muka di kawasan awam dan penggunaan pas vaksin bagi memperlahankan penularan varian Omicron.
Johnson menegaskan, Omicron menular pada kadar yang tinggi dan beliau tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan ‘pelan B’ di samping memperkasakan program suntikan dos penggalak.
“Jika tiada langkah segera diambil, saya bimbang sekiranya keadaan menjadi lebih buruk, menyaksikan jumlah kemasukan pesakit ke hospital akibat Covid-19 semakin meningkat, termasuk kematian.
Sekatan baharu Covid-19 itu memberi tamparan kepada sektor perniagaan yang kini dalam fasa pemulihan susulan perintah berkurung sebelum ini.
Kebanyakan peniaga berharap Krismas yang bakal menjelang tidak lama lagi boleh menjadi pendorong kepada orang ramai untuk berbelanja, sekali gus memulihkan perniagaan mereka.
Selain itu, segelintir ahli politik dalam kerajaan Britain turut menzahirkan rasa tidak puas hati dengan sekatan baharu itu.
Mereka bimbang sekatan tersebut boleh memberi kesan lebih besar terhadap ekonomi negara yang ketika ini sudah pun terjejas.