WASHINGTON: Ketenteraan Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mengukuhkan semula penempatan anggota serta pangkalan tentera bagi berdepan dengan ancaman Rusia dan China.
Jabatan Pertahanan AS akan menaik taraf serta meluaskan kemudahan ketenteraan di Guam dan Australia, dengan menekankan tumpuan terhadap China yang dianggap sebagai saingan pertahanan utama negara ini.
Langkah itu diambil selepas Australia, Britain dan AS mengumumkan pembentukan pakatan pertahanan yang dinamakan AUKUS.
Pakatan itu ditubuhkan bagi menghadapi ketegangan strategik di rantau Pasifik yang menyaksikan persaingan AS dan China semakin meningkat.
Selain itu, jabatan tersebut menyatakan, penempatan anggota tentera negara ini di Asia Barat akan dikekalkan, terutamanya untuk menekan Iran berhubung program nuklearnya dan membanteras kumpulan Daesh.
Pegawai Pentagon, Mara Karlin berkata, keputusan yang dibuat menunjukkan rantau Indo-Pasifik menjadi keutamaan tentera negara ini.
Katanya, penelitian itu dibuat bagi ‘mengarahkan kerjasama tambahan dengan sekutu serta rakan kongsi AS di seluruh rantau berkenaan bagi memacu kestabilan dan menghalang risiko pencerobohan tentera China serta ancaman Korea Utara’.
“Pelan itu juga dilihat sebagai langkah untuk menghalang pencerobohan Rusia di Eropah, sekali gus membolehkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berfungsi dengan lebih berkesan.
“Biarpun tentera AS sudah berundur dari Afghanistan dan Iraq, namun kami boleh menempatkan semula pasukan tentera di negara berkenaan sekiranya terdapat situasi ancaman,” kata Karlin. – AFP