MOSCOW: Kerajaan Arab Saudi memberikan kelulusan terhadap individu yang sudah menerima suntikan vaksin Sputnik V keluaran Rusia memasuki negara itu, bermula 1 Januari 2022.
Perkembangan itu sekali gus memberi kebenaran kepada jemaah beragama Islam menunaikan ibadah haji dan umrah di Arab Saudi.
Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) yang membiayai pembangunan Sputnik V dalam kenyataan memaklumkan kerajaan Arab Saudi memberikan kelulusan tersebut kepada semua penganut Islam di seluruh dunia yang menerima suntikan vaksin tersebut.
“Arab Saudi bersama 100 negara lain sudah menerima kemasukan pengunjung yang menerima suntikan Sputnik V.
“Setakat ini, hanya 15 negara termasuk Amerika Syarikat yang menetapkan syarat pengunjung sesebuah negara perlu menerima suntikan vaksin selain Sputnik V,” katanya.
Jemaah dari negara luar yang menerima vaksin Sputnik V masih perlu menjalani kuarantin selama 48 jam dan mengambil ujian calitan Polymerase Chain Reaction (PCR).
Dalam perkembangan lain, Presiden Rusia, Vladimir Putin berharap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan kelulusan segera terhadap vaksin Sputnik V.
Jelasnya, langkah itu penting bagi meluaskan bekalan vaksin tersebut di peringkat global serta memberikan bekalan percuma kepada negara memerlukan.
“Kelulusan WHO juga penting bagi membuka pintu kepada penduduk Rusia dan negara lain yang menerima suntikan Sputnik V untuk melancong dengan lebih bebas di seluruh dunia.
“Sehingga sekarang seramai 200 juta penduduk dunia sudah menerima suntikan vaksin itu,” katanya.-AFP