NEW DELHI: Sebuah bandar di Gurgaon, India masih terpalit dengan konflik dalaman melibatkan penduduk Islam dengan bukan Islam.
Lapor BBC, konflik yang tercetus di bandar yang terletak 24 kilometer dari New Delhi itu antaranya melibatkan soal menunaikan solat di kawasan terbuka.
Penduduk Islam terpaksa menunaikan ibadah itu dengan kawalan pihak polis disebabkan bilangan masjid tidak mencukupi, manakala, penduduk bukan Islam pula memberi alasan suasana itu menyebabkan mereka tidak selesa dan menimbulkan ketakutan.
Sedangkan umat Islam sudah mendirikan solat di tempat terbuka di Gurgaon selama lebih dua dekad disebabkan hanya terhadap 13 masjid di Gurgaon.
Setiap hari Jumaat selama tiga bulan lalu, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan sayap kanan Hindu tidak henti-henti berkumpul dan mengganggu solat yang didirikan umat Islam di tempat awam di Gurgaon.
Mereka menuntut solat secara terbuka perlu dihentikan di ruang kosong seperti di parkir kereta, pasar, perumahan penduduk dan sebidang tanah milik kerajaan berhampiran kilang.
Kumpulan itu melaungkan slogan, meletakkan kereta bagi menghalang laluan masuk dan mencemuh umat Islam dengan menggelar mereka sebagai ‘jihadis’ dan ‘Pakistanis’.
Pengasas bersama Majlis Muslim Gurgaon, Altaf Ahmad berkata, situasi itu adalah insiden yang menakutkan dan pihaknya tidak pernah menjangka ia akan berlaku di bandar ini.
Jelasnya, ia adalah usaha terkini mengenai ‘rancangan merampas tanah umat Islam’ yang mendirikan solat.
KONFLIK AGAMA
Bandar Gurgaon bertukar menjadi sebuah pinggir bandar perniagaan yang berkembang maju dalam tempoh kurang dari tiga dekad.
Bandar itu kini dilengkapi kedai-kedai mewah dan pangsapuri bertingkat tinggi.
Perancang bandar sudah menempatkan lebih 42 kuil dan 18 gurdwara, tetapi hanya satu plot untuk masjid di bahagian bandar yang baru dibangunkan.
Dianggarkan, seramai 500,000 penduduk Islam yang bekerja sebagai buruh binaan tinggal di bandar itu.
Namun Gurgaon hari ini dilihat menjadi pusat pencetus krisis agama mengenai ibadah solat.
Salah seorang pemimpin protes kumpulan Hindu, Kulbhushan Bhardwaj berkata, pihaknya tidak berniat menentang umat Islam.
Namun katanya, menunaikan solat di tempat terbuka adalah ‘lambang jihad’.
Seorang penduduk, Sunil Yadav yang menyertai protes bagi menghalang umat Islam supaya berhenti solat berkata, dia berasa tidak selesa apabila umat Islam menunaikan solat berdekatan rumahnya.
“Kami rasa takut. Selepas solat mereka berkeliaran,” katanya.
PENGHINAAN BERTERUSAN
Sebelum ini, nasionalis Hindu sering menyasarkan orang Islam dengan melancarkan gerakan menentang ‘sayang jihad’ yang merupakan teori konspirasi kumpulan berhaluan kanan yang menuduh Muslim lelaki cuba menukar agama wanita Hindu melalui perkahwinan.
Kumpulan itu juga turut menghalang penyembelihan lembu semasa ibadah korban.
Protes mengenai ibadah solat di tempat terbuka bermula sejak 2018.
Selepas rundingan dilakukan, kumpulan penduduk Islam bersetuju mengurangkan bilangan tapak daripada 108 kepada 37.
Bagaimanapun, tahun ini, protes digerakkan semula atas sebab-sebab yang masih tidak jelas.
Selepas rundingan baharu dijalankan, bilangan tapak kini berkurangan kepada 20.
Sehingga detik ini, umat Islam di Gurgaon hidup dalam ketidaktentuan, menghadapi penghinaan dan diselubungi ketakutan.
Ramai yang berisiko kehilangan gaji kerana mengambil cuti kerja pada hari Jumaat dan terpaksa melakukan perjalanan jauh semata-mata mencari tempat solat.