Pelarian Rohingya saman Facebook RM634 bilion - Utusan Malaysia

Pelarian Rohingya saman Facebook RM634 bilion

GAMBAR fail menunjukkan pelarian Rohingya menyeberangi sungai Naf dari Myanmar untuk ke Bangladesh pada 2017. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Pelarian Rohingya dilaporkan menyaman Facebook sebanyak AS$150 bilion (RM634 bilion) kerana mendakwa syarikat itu gagal membendung ucapan berunsur kebencian di platformnya. 

Kegagalan itu dikatakan memburukkan lagi keganasan terhadap golongan minoriti yang lemah.

Saman yang dikemukakan di sebuah mahkamah di California menyatakan rangkaian media sosial berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu mempromosikan maklumat palsu dan pemikiran ektremis yang menyebabkan keganasan. 

“Facebook adalah seperti robot yang diprogramkan dengan misi tunggal iaitu untuk berkembang.

“Realitinya perkembangan Facebook yang didorong dengan ucapan kebencian, perpecahan dan maklumat palsu menyebabkan ratusan ribu hidup penduduk Rohingya musnah,” jelas dokumen mahkamah.

Penduduk etnik beragama Islam berdepan dengan diskriminasi meluas di Myanmar yang mana mereka dipandang sebagai penceroboh walaupun sudah menetap di negara itu sejak turun-temurun.   

Satu kempen ketenteraan dianggap melakukan penghapusan etnik seperti yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyaksikan ratusan ribu Rohingya melarikan diri ke Bangladesh pada 2017.

Mereka tinggal di kem pelarian luas di negara jiran itu untuk meneruskan kehidupan.

Ramai lagi yang masih tinggal di Myanmar yang mana mereka tidak diberikan status kewarganegaraan, tertakluk kepada keganasan komunal dan ditindas oleh junta tentera yang memerintah.

Dokumen itu juga menyatakan algoritma Facebook mendorong pengguna yang terdedah untuk menyertai kumpulan pelampau yang lebih ekstrem.

Sebelum ini, kumpulan hak asasi manusia mendakwa Facebook tidak melakukan secukupnya untuk menyekat penyebaran berita palsu dalam talian.

Malah, pengkritik mendakwa syarikat itu gagal bertindak walaupun sudah dimaklumkan mengenai ucapan berbaur kebencian di platformnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya