SUMATERA UTARA: Seorang pelarian warga Afghanistan bertindak membakar dirinya di depan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian UNHCR di Jalan Imam Bonjol, Medan, Selasa lalu.
Lapor Kompas.com, seorang pengawal keselamatan, Semiaro Waruwu berkata, dia berada di lokasi kejadian ketika Ahmad Shah, 22, bersama beberapa rakannya yang lain berdiri tidak jauh dari pintu masuk pejabat itu.
Katanya, ketika itu dia sudah tercium bau petrol dari individu yang memakai baju lengan panjang.
Semiaro dan pengawal keselamatan lain mengesyaki akan ada individu yang membakar diri dan segera mengambil alat pemadam api.
Namun, ternyata Ahmad sudah terlebih dahulu membakar dirinya.
“Dia bawa mancis di tangan kanan dan kirinya. Api semakin marak dan dia berteriak dalam masa sama. Kami sembur pemadam api dan terus membawa dia serta rakannya yang lain ke hospital,” katanya.
Menurut Semiaro, rakan Ahmad memberitahu, mangsa mengalami tekanan kerana sudah lima tahun berada di pusat perlindungan di negara itu.
Dia berulang kali meminta pejabat Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) dan UNHCR meneliti perkara itu, namun, langsung tidak didengari.
Disebabkan itu, dia hilang pertimbangan dan membakar dirinya.
Ketika ini mangsa menjalani rawatan di Hospital Siloam Dirga, Medan, kerana mengalami kecederaan akibat kesan kebakaran sebanyak 70 peratus.