GENEVA: Varian Covid-19 Omicron dilaporkan sudah merebak ke 89 negara dan jumlah jangkitan kes tempatan boleh meningkat dua kali ganda dalam tempoh satu setengah hingga tiga hari sahaja.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan Omicron merebak dengan pantas di negara yang mempunyai tahap imuniti penduduk yang tinggi, namun tidak jelas sama ada disebabkan oleh keupayaan virus untuk mengelak imuniti, peningkatan kebolehjangkitan yang wujud atau gabungan kedua-duanya.
WHO mengumumkan Omicron sebagai varian kebimbangan global sejak 26 November lalu.
Sehingga kini, masih banyak maklumat mengenai varian itu belum diketahui termasuk tahap keseriusan penyakit yang berpunca daripada varian itu.
“Masih terdapat data yang terhad tentang tahap keseriusan klinikal Omicron.
“Lebih banyak data diperlukan bagi memahami profil keterukan dan bagaimana keterukan itu dipengaruhi vaksinasi dan imuniti sedia ada,” katanya.
WHO memberi amaran bahawa kes akan meningkat dengan begitu cepat dan kadar kemasukan ke hospital juga turut bertambah.
“Bilangan individu yang masuk hospital di United Kingdom dan Afrika Selatan akan terus meningkat dan kemungkinan banyak sistem penjagaan kesihatan juga turut bertambah dengan bilangan pesakit,” jelansya.-REUTERS