Omicron dikesan di negara lain sebelum Afrika? - Utusan Malaysia

Omicron dikesan di negara lain sebelum Afrika?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Nigeria mengesahkan kes pertama jangkitan melibatkan Omicron dan mendedahkan varian itu sudah berada di negara tersebut sejak Oktober lalu.

Ia ditemukan beberapa minggu sebelum Afrika Selatan mengumumkan kepada dunia mengenai kewujudan varian baharu Covid-19.     

 Lapor Daily Mail, Pusat Kawalan Penyakit Nigeria memaklumkan tiga kes varian Omicron dikesan pada pengunjung dari Afrika Selatan yang tiba di Nigeria dalam tempoh seminggu lalu.

Pengarah agensi itu, Dr. Ifedayo Adetifa berkata, ujian retroaktif sampel Covid-19 yang dikumpulkan sejak beberapa minggu kebelakangan ini mengenal pasti satu lagi kes varian Omicron berasal dari bulan Oktober.

Ini bermakna Omicron yang diisytiharkan sebagai varian membimbangkan (VOC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berkemungkinan menular tanpa dikesan selama beberapa minggu sebelum mula dikenal pasti.

Penemuan itu dibuat sehari selepas pihak berkuasa kesihatan Belanda mendedahkan menemukan satu kes varian Omicron dalam sampel dikumpul pada 19 November lalu, empat hari sebelum Afrika Selatan memberi amaran mengenai varian tersebut.

Sekiranya disahkan, kes di Nigeria akan menjadi jangkitan varian Omicron yang paling awal diketahui sekaligus mengubah semula garis masa asal usul varian.

Bagaimanapun, ia tidak semestinya bermakna varian itu muncul di Nigeria kerana tiada butiran menjelaskan bagaimana atau faktor sampel itu dikumpulkan.

Sementara itu, dalam laporan berasingan, varian Omicron dilaporkan berada di United Kingdom (UK) beberapa hari sebelum Afrika Selatan membuat penemuan itu.

Ia muncul selepas majoriti kes di Scotland dikaitkan dengan satu majlis yang berlaku pada 20 November lalu.

Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon mendedahkan sembilan daripada jumlah 10 kes dikesan berasal daripada majlis peribadi yang berlangsung selama empat hari sebelum pengumuman Afrika Selatan.

“Kesemuanya dikesan di Glasgow, Clyde dan Lanarkshire, malah tiada satu pun yang mempunyai hubungan perjalanan,” jelasnya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya