LONDON: Jutaan penumpang berdepan masalah gangguan penerbangan dan pertambahan sekatan Covid-19 semasa sambutan perayaan Krismas hari ini, susulan lonjakan kes varian Omicron.
Lapor BBC, kebanyakan penerbangan terpaksa dibatalkan dan langkah keselamatan diketatkan.
Itali, Sepanyol dan Greece mengenakan syarat wajib pemakaian pelitup muka semasa berada di kawasan terbuka.
Catalonia di utara Sepanyol pula melaksanakan sekatan pada waktu tengah malam, manakala, Belanda mengenakan perintah berkurung.
Langkah berjaga-jaga itu diambil susulan kebimbangan saintis terhadap lonjakan kes baharu Covid-19 di United Kingdom, Perancis dan Itali sejak Khamis lalu.
Di Amerika Syarikat, kes harian Omicron meningkat melebihi gelombang Delta dan hospital penuh sesak di seluruh negara.