WALES: Seorang penunggang kuda dilihat membuat pesanan di kaunter pandu lalu McDonald’s di cawangan Blackwood, Caerphilly, Wales.
Insiden luar biasa itu menyebabkan seorang pelanggan, Simon White, 46, mengambil beberapa keping gambar yang menunjukkan seorang penunggang wanita membuat pembayaran dan mengambil pesanannya.
Bapa tiga anak itu berkata, anak-anaknya bergegas meluru ke pekarangan luar restoran makanan segera itu untuk mengambil gambar dan membuatkan mereka berasa sangat gembira.
Penunggang kuda yang tidak diketahui identitinya memakai jaket berwarna coklat dan menunggang kuda berwarna putih.
Menurut White, dia kemudian melihat wanita itu memakan burger yang dibeli selepas membuat pesanan tersebut.
Lelaki itu kemudian memuat naik gambar tersebut dalam media sosial dan berasa teruja melihat kuda tersebut berada dalam keadaan baik dan patuh arahan pemiliknya.-AGENSI