LONDON: Pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 yang hilang secara misteri sejak tujuh tahun lalu sudah menelan belanja sebanyak 85 juta pound (RM475 juta) dan sehingga kini masih tiada kesimpulan dibuat berhubung kehilangan kapal terbang itu.
Ketika itu, kumpulan pakar dan detektif amatur sudah menulis kira-kira 150 buah buku mengenai pelbagai teori tentang kehilangan MH370 yang membawa seramai 239 penumpang termasuk anak kapal.
MH370 terputus hubungan dengan menara kawalan kurang sejam sejurus berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.
Di sebalik pelbagai teori yang timbul, seorang bekas jurutera Britain, Richard Godfrey, 71, memaklumkan beliau percaya pesawat itu kini berada di perairan barat Perth, Australia Barat.
Katanya, dia bekerja selama lapan jam sehari selama tujuh tahun untuk mengesan data radio bagi menyelesaikan misteri kehilangan pesawat itu.
“Lokasi nahas berada di kedudukan 33.177°S 95.300°E dan berharap MH370 dapat ditemukan, selain saya faham kenapa ia sukar ditemukan sehingga kini.
“Pesawat itu mungkin tenggelam pada kedalaman 4,000 meter di dasar laut dan dengan kedalaman itu, amat sukar untuk ditemukan, namun tidak mustahil boleh dijumpai sekiranya menggunakan peralatan yang betul,” katanya kepada The Sun.
Godfrey yang kini tinggal di Frankfurt, Jerman bersungguh-sungguh ingin mencari MH370 kerana beliau pernah ‘terlepas detik kematian’ sebelum ini.
Pada Mei 2009, dia menempah tiket Air France penerbangan 447 dari Rio de Janeiro ke Britain namun terpaksa menangguhkan perjalanan kerana urusannya di bandar itu belum selesai.
Selepas itu, pesawat tersebut dilaporkan hilang dan hanya ditemukan selepas dua tahun kemudian di lautan Atlantik.
“Saya faham apa yang dirasakan keluarga penumpang MH370 dan sudah tiba masanya untuk kita semua terima kenyataan pesawat itu tenggelam di perairan Australia,” ujarnya.