MH17: Pendakwa raya cadang hukuman terhadap tertuduh minggu ini - Utusan Malaysia

MH17: Pendakwa raya cadang hukuman terhadap tertuduh minggu ini

KELUARGA mangsa ketika menghadiri majlis perasmian Monumen Kebangsaan untuk mangsa nahas MH17 di Vijfhuizen, Belanda pada 17 Julai 2017. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Pendakwa raya Belanda pada minggu ini bakal mencadangkan bentuk hukuman terhadap empat tertuduh yang didakwa menjadi dalang nahas pesawat Malaysia Airlines, MH17 pada 2014.

Pendakwa raya juga akan mengemukakan pendakwaan secara rasmi dalam perbicaraan yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, dengan keempat-empat tertuduh didakwa membunuh kesemua 298 penumpang dalam pesawat berkenaan.

Empat tertuduh iaitu rakyat Rusia, Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Oleg Pulatov serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko menolak untuk menghadiri perbicaraan itu.

Selain itu, keputusan oleh Mahkamah Tinggi Belanda berhubung kes tersebut pula dijangka diketahui paling awal pada penghujung 2022.

Menurut jurucakap mahkamah, hukuman maksimum yang mungkin dikenakan terhadap keempat-empat tertuduh itu adalah penjara seumur hidup.

Pasukan penyiasat antarabangsa sebelum ini menegaskan MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK yang didakwa dibawa dari pangkalan tentera Rusia ketika pesawat itu melintasi timur Ukraine yang dikuasai kumpulan pemisah Moscow pada 17 Julai 2014. 

Kesemua tertuduh akan menjelaskan mengenai semua bahan bukti yang diperoleh, termasuk telefon dan keadaan peluru berpandu yang digunakan untuk menembak pesawat tersebut.

Cadangan hukuman dijangka diputuskan pada Rabu ini dan kumpulan pendakwa raya berikrar untuk memastikan hukuman tersebut setimpal dengan perbuatan mereka.

Pada awal tahun ini, sejumlah ahli keluarga mangsa memberi testimoni mengenai kesedihan mereka kehilangan insan tersayang dan menyifatkan Rusia gagal menegakkan keadilan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya