MADRID: Masjid Besar Cordoba yang merupakan satu daripada sebuah monumen Islam paling terkenal di dunia, dilaporkan berada dalam keadaan ‘kritikal’ akibat tekanan yang berpunca daripada para pelancong.
Lapor Arab News, masjid itu berdepan masalah pemeluwapan akibat jutaan pelancong yang mengunjungi monumen tersebut pada setiap tahun.
Keadaan kritikal monumen itu didedahkan dalam satu laporan yang dikemukakan kepada kerajaan.
Laporan itu turut mendapati pemeluwapan merosakkan beberapa bahagian utama masjid tersebut.
Pemeluwapan didapati merosakkan mihrab ikonik masjid itu yang menghadap ke arah Makkah.
Masjid Besar Cordoba yang menerima lebih dua juta pengunjung tahunan, dibina antara abad kelapan dan ke-10.
“Masalah itu berlaku disebabkan oleh konfigurasi seni bina khas ruang dan pengudaraan yang tidak mencukupi.
“Haba dalam badan yang dikeluarkan pelancong menyebabkan kerosakan. Penyejatan itu menyebabkan beberapa bahagian terjejas sekali gus menyumbang kepada kerosakan tersebut,” jelas laporan itu.
Monumen itu sudah pun berdepan cabaran disebabkan status Cordoba sebagai bandar paling panas di Semenanjung Iberia dengan mencecah suhu hampir 47 darjah Celsius.