LONDON: Seorang wanita yang mahu menjual sofa lamanya dilaporkan tidak sengaja menyenaraikan bayinya yang berusia tujuh bulan untuk dijual menerusi iklan yang dibuat dalam media sosial.
Tindakan wanita berusia 20 tahun itu mengejutkan pengguna media sosial yang menyifatkan kesilapan dilakukan ibu muda tersebut amat melucukan.
Lapor Mirror, Lucy Battle dari Burley berasa malu selepas secara tidak sengaja memuat naik gambar anaknya, Oscar bersertakan kapsyen ‘perlu dijual hari ini’ di sebuah halaman tempatan di Facebook.
Rata-rata penduduk di Leeds segera memberi komen terhadap hantaran Battle dan memaklumkannya mengenai kesilapan yang berlaku.
Baru-baru ini, Battle membeli sofa baharu dan memutuskan untuk menjual perabot lamanya menerusi Facebook.
Namun, Battle secara tidak sengaja memuat naik gambar anak lelakinya sebagai imej utama dalam laman tersebut sehingga kelihatan seperti dia menjual bayinya berbanding sofa lama yang sepatutnya disenaraikan.
“Saya pun tidak tahu bagaimana saya boleh memuat naik gambar yang salah ketika memilih imej daripada kamera.
“Saya menyedari kesilapan itu apabila ramai mula memberi komen dan menghantar mesej kepada saya, namun malangnya gambar anak saya itu tidak dapat dipadamkan,” katanya.
Menurut Battle, selepas menyedari kesilapannya, dia menjelaskan sebenarnya mahu menjual sofa dan bukannya Oscar. – AGENSI