ACEH: Seorang suami tergamak membunuh isteri sendiri dan menyimpan mayat mangsa dalam rumahnya selama 24 hari di Aceh Besar, Aceh.
Lapor Tribunnews, suspek dikenali sebagai HH berusia 49 tahun, manakala, isterinya, NZ, 47.
Ketua Polis Banda Aceh, Joko Krisdiyanto berkata, motif pembunuhan disebabkan tidak berpuas hati dengan wang hasil penjualan rumah.
Jelasnya, mayat wanita yang dibungkus dalam plastik berwarna hijau itu ditemukan di Peukan Bada, Selasa lalu.
Selain sudah mengeluarkan bau busuk, mangsa turut ditemukan tanpa seurat benang serta kakinya terikat dengan tali.
Katanya, mangsa kali pertama ditemukan oleh seorang pekebun tempatan yang sudah mencium bau busuk beberapa hari sebelumnya.
“Mayat mangsa turut disimpan selama 24 hari di dalam rumah suspek.
“Setelah membersihkan darah mangsa yang mengalir di lantai, pelaku kemudian menggali tanah di bilik air sebelum menanam mayat mangsa,” katanya.
Menurut Joko, pelaku turut membeli kapur barus, minyak tanah dan ubat nyamuk bagi menghilangkan bau busuk dari mayat tersebut.
Bimbang perbuatannya disedari orang lain, suspek kemudian menggali semula tanah tersebut dan mengeluarkan mayat isterinya sebelum dibungkus dalam plastik.
Suspek turut meletakkan selimut tebal dalam bungkusan tersebut dan mayat mangsa dibuang ke pinggir hutan Gampong Lambadeuk.