DUBAI: Human Rights Watch (HRW) hari ini memaklumkan mahkamah di Arab Saudi memenjarakan seorang lelaki rakyat Yaman selama 15 tahun berhubung kesalahan murtad.
Pesalah yang dikenal pasti sebagai Ali Abu Luhum, 38, didakwa membuat komen menghina agama menggunakan dua akaun Twitter yang didadftarkan dengan nombor telefon miliknya.
“Mahkamah mendapati ciapan yang dibuat Ali mempromosikan ‘murtad, ketidakpercayaan dan ateisme’.
“Dakwaan terhadap Ali turut melibatkan ‘penafian Tuhan itu wujud’ serta penyebaran kandungan yang bersifat ‘prejudis terhadap ketenteraman awam, nilai agama dan moral awam dalam media sosial’,” jelas organisasi hak asasi manusia itu.
Sehubungan itu, Ali didapati bersalah kerana mempromosikan ateisme dan dipenjara 15 tahun.
Lelaki itu kini dipenjara di Najran yang berhampiran sempadan Yaman.
Sehingga kini, Riyadh tidak memberi sebarang kenyataan balas berhubung perkara tersebut.
Sementara itu, HRW menggesa supaya pihak berkuasa Arab Saudi memansuhkan perundangan berkaitan agama dengan alasan negara itu semakin moden dan perlu bersikap terbuka terhadap kepercayaan dan kehendak masyarakat. – AFP