ISTANBUL: Seorang rakyat Turki menjadi ‘jurulatih tekanan’ pertama yang mencari rezeki dengan membiarkan orang lain menumbuknya tanpa membalas tumbukan semula.
Lapor Oddity Central, Hasan Riza Gurney bekerja sebagai punching bag manusia sejak 2010 selepas mendapat inspirasi dari pengarah filem klasik Turki, Kemal Sunal yang menghasilkan filem Sark Bulbulu.
Menerusi filem itu, seorang watak protagonis secara sukarela membenarkan dirinya dipukul orang lain.
Dia sedar sesetengah individu melepaskan tekanan dengan melakukan senaman, meditasi atau tidur.
Sedangkan, dalam masa sama ada juga individu yang mahu meredakan ketegangan dengan menjerit atau memukul seseorang.
Disebabkan itu, dia mendapat idea menjadi ‘jurulatih tekanan’ dengan menjadikan ia sebagai bentuk perniagaan sejak 11 tahun lalu.
Hasan berharap dapat melatih individu lain sebelum dirinya meniti usia tua kelak.
“Kebanyakan pelanggan saya mengalami tekanan atau serangan panik akibat rutin harian mereka.
“Sebab itu, saya ingin melatih bakat berpotensi lain yang berminat sebagai ‘jurulatih tekanan’ dan menyerahkan sarung tangan saya kepada generasi baharu,” katanya.