BERLIN: Seorang lelaki menembak mati isteri dan tiga anak perempuannya, sebelum menamatkan riwayat sendiri selepas dia memalsukan sijil vaksinasi Covid-19.
Menurut pihak berkuasa, lelaki itu membunuh keluarganya kerana bimbang jika banyak pihak mengetahui dia memalsukan sijil vaksinasi tersebut.
Pasukan polis menemukan mayat pasangan suami isteri dan tiga anak mereka yang berusia empat, lapan serta 10 tahun dengan luka tembakan di kepala di rumah keluarga itu di Koenigs Wusterhausen, selatan Berlin pada Sabtu lalu.
Menerusi nota bunuh diri yang dipercayai ditulis oleh lelaki itu yang dikenali sebagai Devid R memberitahu, dia turut memalsukan sijil vaksinasi isterinya, Linda.
Pekerja isterinya sudah mengetahui penipuan tersebut, menyebabkan mereka bimbang sekiranya ditahan polis dan kehilangan hak penjagaan anak-anak mereka.
Polis dikerah ke rumah keluarga itu selepas beberapa saksi ternampak beberapa mayat di dalam kediaman tersebut.
Menyerahkan sijil vaksinasi Covid-19 palsu merupakan satu jenayah di Jerman dan mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu boleh dihukum penjara atau denda.
Dalam pada itu, polis turut menemukan sepucuk pistol yang didakwa digunakan Devid untuk menembak keluarga dan dirinya.
Polis juga tidak mengesan kehadiran pihak lain ketika kejadian berlaku dan kelima-lima mayat itu akan dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.