JAKARTA: PT Garuda Indonesia akan mengekalkan lima laluan antarabangsa pada tahun depan.
CNN Indonesia melaporkan, laluan tersebut adalah Hong Kong; Sydney, Australia; Narita, Jepun; Seoul, Korea Selatan dan China.
Pengarah Urusan Garuda Indonesia, Irfan Setiaputra berkata, kelima-lima laluan itu dikekalkan kerana masih menguntungkan manakala laluan lain perlu dihentikan atas faktor penjimatan.
“Walaupun kami telah menutup banyak (laluan) antarabangsa, Garuda masih terbang ke Hong Kong, Sydney, Narita, Seoul, China,” kata Irfan dalam pembentangan dalam talian bagi suku ketiga 2021.
Garuda Indonesia turut mengekalkan laluan Jeddah, Arab Saudi namun itu tidak memasuki senarai laluan antarabangsa kerana ia hanya dikhususkan untuk umrah.
Walaupun begitu, Garuda Indonesia masih belum membuka semula penerbangan ke Jeddah buat masa ini kerana Kementerian Agama masih menangguhkan pelepasan jemaah umrah sehingga tahun hadapan.
Laluan ke Jeddah, kata Irfan, akan dibuka semula apabila mendapat pengesahan daripada kerajaan.
Dalam pada itu, Garuda Indonesia akan menutup sejumlah penerbangan domestik, salah satunya Bandung-Denpasar.