HONG KONG: Selepas Apple Daily, kini pasukan polis Hong Kong menahan enam individu yang bekerja dengan sebuah syarikat laman web berita bebas kerana disyaki terlibat dengan konspirasi untuk menerbitkan penerbitan berunsur hasutan.
Lebih 200 pegawai polis turut dihantar untuk menyerbu pejabat penerbitan yang melibatkan dua kakitangan semasa dan juga bekas kakitangan Stand News.
Selain itu, turut ditahan adalah bintang pop yang menjadi ikon demokrasi, Denise Ho yang merupakan bekas ahli lembaga pengarah.
Dia mengesahkan dalam catatan Facebook mengenai dirinya ditangkap atas tuduhan sama dan dibawa ke Balai Polis Daerah Barat.
Menerusi satu kenyataan, polis berkata, mereka diberi kuasa untuk mencari dan merampas bahan kewartawanan yang berkaitan.
Mereka yang ditahan adalah tiga lelaki dan tiga wanita yang berumur antara 34 hingga 73 tahun.
Terdahulu, rakaman yang disiarkan dalam Facebook Stand News juga menunjukkan beberapa pegawai polis di pintu masuk pejabat Timbalan Pengarah Tugasan, Ronson Chan, awal pagi Rabu.
Chan tidak ditangkap tetapi beliau dibawa untuk disoal siasat oleh polis.
Malam sebelumnya, Chan mempengerusikan makan malam tahunan Persatuan Wartawan Hong Kong (HKJA).
Dalam ucapannya, beliau merujuk penutupan Apple Daily sebagai insiden yang menggemparkan Hong Kong.
Beliau membuat kesimpulan dengan mengatakan kebenaran perlu didedahkan dan wartawan diperlukan bagi tujuan tersebut.
Awal tahun ini, ratusan polis menyerbu premis Apple Daily yang kini tidak berfungsi yang merupakan penerbitan yang terkenal sebagai pengkritik lantang terhadap kepimpinan Hong Kong dan China.-BBC