QUEENSLAND: Satu sidang akhbar mengenai situasi semasa Covid-19 di Australia terganggu dengan kehadiran seekor labah-labah besar dari spesies Huntsman.
Menteri Kesihatan Queensland, Yvette D’Ath mengadakan sidang akhbar mengenai polisi vaksinasi terhadap sektor perniagaan sebelum kehadiran labah-labah besar itu disedari orang ramai.
“Bolehkah sesiapa alihkan labah-labah ini? Saya tidak sukakan labah-labah namun saya akan teruskan sidang akhbar ini.
“Jika labah-labah itu naik ke muka saya, sila maklumkan segera,” seloroh D’Ath yang terkejut dengan situasi itu.
Ketua Pegawai Kesihatan, John Gerranrd cuba mengusir labah-labah itu menggunakan kertas, namun ia sempat melarikan diri.
Labah-labah Huntsman boleh menyebabkan kesakitan apabila ia menggigit mangsa, namun bisanya tidak berbahaya.