MAYFIELD: Jumlah korban bencana tornado di enam negeri di Amerika Syarikat meningkat kepada 94 orang, menyaksikan pasukan kecemasan berlumba dengan masa untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Gabenor Kentucky, Andy Beshear berkata, operasi SAR di Mayfield mungkin ‘tidak akan disambung’ berikutan keadaan di pekan tersebut yang disifatkan ‘terlalu teruk’.
Angka korban dijangka terus meningkat dalam masa terdekat dengan lebih 80 orang terkorban di Kentucky.
“Jumlah itu (kematian) akan terus bertambah dan melebihi 100 orang.
“Kemusnahan yang berlaku di Kentucky amat dahsyat dan saya tidak pernah melihat keadaan seperti ini,” kata Beshear. – AFP