BANGKOK: Kuala Lumpur bukan sahaja dinobatkan sebagai bandar terbaik untuk didiami oleh golongan ekspatriat di Asia Tenggara, bahkan berada pada kedudukan pertama di peringkat global.
The Bangkok Post melaporkan, dapatan itu diperoleh hasil tinjauan Expat City Ranking 2021 oleh InterNations.
Ibu negara Malaysia menghuni carta teratas tahun ini kerana golongan ekspatriat memuji keramahan penduduk tempatan terhadap warga asing di Kuala Lumpur.
Suasana itu menyebabkan mereka berasa seperti berada di rumah sendiri.
Keputusan itu disiarkan Rabu lalu dengan bandar Singapura, Ho Chi Minh dan Bangkok masing-masing berada pada kedudukan kedua, ketiga dan keempat di peringkat Asia Tenggara.
Tinjauan itu menilai mengenai kos sara hidup yang rendah, keramahan penduduk dan harga rumah berpatutan sebagai faktor yang mempengaruhi kriteria pemilihan tersebut.
InterNations mempunyai ahli seramai empat juta orang di 420 bandar di seluruh dunia.
Tinjauan tahun ini meminta seramai 12,420 ekspatriat di 57 bandar memberikan penilaian terhadap bandar yang didiami mereka.
Selain itu, bandar Asia lain yang digemari ekspatriat adalah Shanghai dan Tokyo dengan kedudukan global masing-masing adalah 13 dan 53.