LONDON: Satu kajian baharu menunjukkan kerjaya dalam sains roket dan neurologi tidak begitu sukar seperti disangkakan ramai.
Lapor Daily Mail, pasukan penyelidik dari University College London mengkaji tahap kecerdasan saintis roket dan pakar bedah otak serta membandingkan profesion itu dengan orang awam.
Hasil kajian mendapati jurutera aeroangkasa dan pakar bedah saraf mempunyai kebijaksanaan yang sama seperti individu lain.
Dalam kajian itu, pasukan penyelidik membandingkan tahap kecerdasan membabitkan 329 jurutera aeroangkasa, 72 pakar bedah saraf dan 18,257 orang awam.
Para peserta diminta melengkapkan ujian dalam talian untuk mengukur beberapa aspek kebijaksanaan berbeza antaranya perancangan, pemantauan dan pemprosesan emosi.
Faktor lain seperti jantina dan pengalaman dalam kepakaran turut diambil kira dalam kajian ini.
Hasil keputusan menunjukkan jurutera aeroangkasa dan pakar bedah saraf memaparkan ciri hampir sama dalam kebanyakan aspek.
Apabila keputusan itu dibandingkan dengan orang awam, jurutera aeroangkasa tidak menunjukkan perbezaan ketara dalam sebarang aspek tersebut.
Pakar bedah saraf pula mampu menyelesaikan masalah dengan lebih cepat berbanding orang awam namun memaparkan daya ingatan semula yang agak perlahan. – AGENSI