RUSIA: Cuaca ekstrem di negara Rusia menyebabkan berpuluh-puluh kereta membeku akibat salji melanda di perairan Jepun.
Keadaan yang luar biasa itu menyaksikan suhu mencecah -19 Celcius di bandar Vladivostok di Rusia iaitu pelabuhan yang menerima kemasukan kereta import.
Disebabkan itu, kereta jenama Toyota dan Honda dilitupi ais setebal enam inci di atas kapal pengangkut kargo Sun Rion Ro-Ro.
Kereta-kereta tersebut diliputi ais yang tebal sehingga menimbulkan kebimbangan sekiranya akan memberi kesan terhadap penggunaan kereta tersebut.
Seorang kapten laut, Pyotr Osichansky, 72, berkata, bulan Disember adalah tempoh laut akan menjadi bergelora dan sangat berangin.
“Air laut memercik di atas kapal dan bertukar menjadi ais yang tebal namun tidak dinafikan, angin tahun ini lebih kuat daripada biasa,” katanya.
Sementara itu, Britain juga meramalkan mengalami musim sejuk yang melampau.
Laporan The Weather Company menjelaskan negara itu dijangka mengalami cuaca berkenaan, sekurang-kurangnya dalam tempoh 25 hari lagi.-AGENSI