VATICAN CITY: Pope Francis secara lantang mengkritik keganasan domestik terhadap golongan wanita dan menyifatkannya sebagai ‘perbuatan syaitan’.
Lapor BBC, pemimpin Vatican City itu berkata demikian ketika berucap kepada satu penal yang terdiri dari empat individu yang mempunyai latar belakang berbeza, termasuk mangsa keganasan domestik.
“Pada saya, perbuatan itu (keganasan domestik) sama seperti kejahatan syaitan kerana menindas golongan yang tidak boleh pertahankan diri mereka dan jenayah ini amat memalukan,” katanya.
Pope Francis kemudiannya berkata, golongan wanita yang menjadi mangsa keganasan domestik tidak kehilangan maruah mereka.
Sejak pandemik Covid-19 bermula, Pope Francis sudah beberapa kali menyuarakan isu berkaitan keganasan domestik.
Jenayah itu dilaporkah meningkat di beberapa negara dengan menyaksikan semakin ramai mangsa terperangkap akibat pandemik yang berlaku.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melibatkan 13 negara, separuh daripada golongan wanita memaklumkan mereka menjadi mangsa penderaan domestik sejak pandemik bermula.
Di Itali, polis mendedahkan sebanyak 90 kes melibatkan keganasan terhadap golongan wanita setiap hari dengan 62 peratus daripadanya melibatkan keganasan domestik.