LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dikecam hebat oleh ahli parti sendiri di Parlimen berhubung sekatan baharu Covid-19 yang dilaksanakan di negara itu.
Situasi tersebut berlaku ketika pemimpin itu berdepan sokongan yang semakin merosot, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan mengenai masa depan karier politiknya.
Ahli Parti Konservatif mengecam peraturan baharu yang diumukkan Johnson iaitu pemakaian pelitup muka, ujian saringan, kuarantin dan pas vaksin, dengan menyifatkannya menyekat kebebasan rakyat.
Ahli Parlimen Tory, Steve Baker menuduh Johnson mewujudkan keadaan ‘keadaan menyedihkan’ dengan memperkenalkan sekatan tidak seimbang berdasarkan bukti yang tidak lengkap.
Namun, Johnson menegaskan sekatan lebih ketat perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan hospital lumpuh akibat gelombang jangkitan varian Omicron dalam beberapa bulan akan datang.
Isnin lalu, Johnson mengumumkan sekurang-kurangnya seorang penduduk meninggal dunia akibat dijangkiti Omicron.
Sekurang-kurangnya 60 Ahli Parlimen Tory atau lebih daripada jumlah itu dilaporkan membantah sekatan baharu Covid-19, meskipun kerajaan dengan majoriti 80 kerusi dijangka menang dengan sokongan parti pembangkang.
Situasi ketika ini amat berbeza dengan undian dilakukan sebelum ini di Parlimen yang secara berkesan menyekat peraturan Covid-19.
Sepanjang minggu lalu, Johnson menyaksikan sokongan merosot dalam tinjauan pendapat dan gesaan untuk meletak jawatan berikutan satu laporan mendakwa pemimpin itu bersama kakitangannya melanggar sekatan Covid-19 pada sambutan Krismas lalu.
Tindakan yang dilakukan oleh beberapa parti di Downing Street dan jabatan kerajaan lain membawa kepada tuduhan dwistandard, ketika orang ramai diminta untuk membatalkan pelan sambutan perayaan mereka.
LIGA PERDANA SUMBANG KES
Dalam pada itu, siri jangkitan Covid-19 juga dilaporkan berlaku dalam pertandingan sukan.
Liga Perdana Inggeris melaporkan sebanyak 42 kes baharu Covid-19 dalam kalangan pemain dan kakitangan bola sepak pada Isnin lalu.
Situasi itu menyebabkan pasukan Manchester United menangguhkan perlawanan menentang Brentford pada Selasa ini.
Liga bola sepak itu juga memaklumkan kepada kelab bola sepak untuk melaksanakan semula langkah kecemasan Covid-19 susulan pengumuman peraturan baharu untuk mengehadkan penularan varian Omicron.
SKANDAL DAN DAKWAAN
Selain dikritik berhubung isu Covid-19, Johnson juga terpalit dengan beberapa siri skandal berasingan dan dakwaan licik menyebabkan beberapa penganalisis politik meramalkan akan berlaku komplot undi tidak percaya dalaman parti terhadap kepemimpinan beliau.
Ketika Johnson menegaskan beliau tidak melanggar peraturan penjarakan sosial, parti pimpinannya didenda pada minggu lalu kerana gagal mengisytiharkan pihak yang membayar kos pengubahsuaian kediaman mewah Downing Street milik perdana menteri itu.
Situasi itu menambah kepada dakwaan Johnson mengamalkan kronisme dan rasuah selepas beberapa laporan mendakwa kerajaan ‘menyerahkan kerusi’ kepada ahli parti Tory yang memberikan derma banyak.
Selain itu, Johnson turut mencetuskan kemarahan kerana cuba mengubah peraturan tatatertib Parlimen selepas Ahli Parlimen Tory secara haram melobi menteri untuk dua syarikat yang menyenaraikannya dalam bayaran mereka.
Ahli Parlimen Owen Paterson kemudian meletak jawatan sekaligus memberi laluan pilihan raya kecil di kawasan Parlimen North Shropshire diadakan yang mana keputusan itu dijangka menjadikan kedudukan Johnson lebih rapuh.
Seorang penganalisis politik, Robin Pettitt berkata, Johnson mungkin boleh terlepas daripada satu atau dua skandal.
Namun, kesan kumulatif dan sebarang kebimbangan berkaitan liabiliti pilihan raya mungkin memaksa ahli parti Tory untuk bertindak walaupun pemimpin itu hanya menang besar dua tahun lalu. – AFP