BRUSSELS: Kim De Klop mungkin kelihatan seperti wanita lain yang gemar memuat naik pelbagai gambar dalam akaun Instagram.
Namun, De Klop bukanlah sebarang wanita apabila dia sebenarnya juruterbang dan kebanyakan gambar yang dimuat naik menunjukkan dia gembira dengan kerjayanya.
Jelas wanita cantik itu, dia mahu mengubah stereotaip mengenai ‘gadis berambut perang adalah bodoh’ kerana tidak semuanya begitu.
De Klop memulakan kerjayanya sebagai juruterbang ketika berusia 21 tahun di syarikat penerbangan tambang murah Romania, Blue Air dengan mengemudi pesawat Boeing 737.
“Saya sering berdepan dengan pandangan dwi standard oleh banyak orang. Mereka sering ingatkan saya adalah pramugari.
“Bila saya beritahu saya adalah juruterbang, mereka akan mempersoalkan adakah saya benar-benar mampu terbangkan pesawat? Katanya.
Keupayaan De Klop mengemudi pesawat tidak dapat dinafikan apabila dia ditawarkan menjadi juruterbang di Challenge Aircargo.
Wanita itu berpeluang menerbangkan pesawat Boeing 747-400s yang dikenali sebagai Ratu Udara dalam industri penerbangan.