TUXTLA GUTIERREZ, Mexico: Jumlah mangsa kemalangan melibatkan sebuah trak yang membawa sejumlah pendatang di selatan negeri Chiapas meningkat kepada 53 orang.
Kemalangan itu yang menyaksikan trak tersebut terbabas dan melanggar tembok penghadang sebelum terbalik turut menyebabkan 58 yang lain cedera dengan tiga daripadanya parah.
Jurucakap pihak berkuasa, Luis Manuel Garcia berkata, kebanyakan pendatang yang terselamat dalam kemalangan itu berasal dari Guatemala.
Siasatan awal mendapati, trak itu dipandu laju sebelum hilang kawalan di lebuh raya yang menghubungkan bandar Chiapa de Corzo dengan Tuxtla Gutierrez.
Selepas kemalangan itu, pemandu trak terbabit keluar dan melarikan diri.
Siaran televisyen menunjukkan sejumlah ambulans, jentera bomba dan anggota penyelamat memenuhi lokasi kejadian.
Gabenor Tuxtla Gutierrez, Rutilio Escandon berkata, pihak berkuasa akan menyiasat insiden tersebut dan membawa pihak terlibat ke muka pengadilan.
Dalam pada itu, Presiden Guatemala, Alejandro Giammattei memaklumkan pihaknya akan menghulurkan bantuan termasuk membawa balik semua pendatang yang terlibat dalam kemalangan itu.
Rakan sejawatnya, Presiden Mexico, Manuel Lopez Obrador turut menzahirkan simpati berhubung kejadian yang berlaku. – AFP