Jangan biar Afghanistan lumpuh lagi - Utusan Malaysia

Jangan biar Afghanistan lumpuh lagi

SEORANG bayi yang mengalami malnutrisi diberikan rawatan di hospital di Herat, Afghanistan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Negara-negara Islam menggesa satu tabung amanah kemanusiaan diwujudkan untuk membantu Afghanistan ketika jutaan penduduknya berdepan kebuluran dan situasi itu diburukkan dengan musim sejuk melampau.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan memberi amaran negara itu bakal ‘terheret semula dalam keadaan kacau-bilau’ sekiranya tiada bantuan segera disalurkan.

Krisis yang melanda Afghanistan ketika ini semakin meruncing, namun tindak balas komuniti antarabangsa seolah-olah ‘bisu’, selain Barat dilihat enggan membantu kerajaan Taliban yang mengambil alih pentadbiran Afghanistan pada Ogos lalu.

“Jika Afghanistan tidak dibantu segera, negara itu akan kembali seperti keadaan sebelum ini,” kata Imran ketika menyertai mesyuarat bersama barisan menteri luar negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di sini semalam.

Tabung amanah yang diumumkan oleh Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi itu akan ditubuhkan di bawah naungan Bank Pembangunan Islam.

Kebenaran untuk Afghanistan menggunakan aset yang dibekukan di luar negara boleh menjadi kunci utama untuk mengelak negara itu daripada mengalami kejatuhan ekonomi.

Pandangan itu disuarakan oleh negara anggota OIC dalam mesyuarat itu termasuk wakil dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.

Namun, tidak dapat dipastikan berapa dana yang akan dikumpul dan mesyuarat itu juga tidak menunjukkan bakal mengiktiraf kerajaan Taliban dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi menegaskan, kerajaan Taliban mempunyai hak untuk diiktiraf oleh dunia secara rasmi.

Katanya, kerajaan Taliban sudah menstabilkan keadaan termasuk keselamatan di negara itu, bagi membolehkan hak asasi manusia dipelihara, sekali gus membentuk semula negara tersebut.

Taliban sebelum ini dikritik hebat pelbagai pihak kerana menafikan hak golongan wanita dan kanak-kanak, terutamanya dalam sektor pendidikan dan pekerjaan.

“Perlu diingatkan bahawa memulaukan Afghanistan tidak mendatangkan apa-apa faedah. Oleh hal yang demikian adalah penting untuk menyokong kestabilan yang ada,” ujarnya.

 

HAMPIR LUMPUH

Kepemimpinan Taliban sebelum ini meminta bantuan untuk membangunkan semula ekonomi Afghanistan yang terjejas teruk dan bekalan makanan untuk lebih 20 juta penduduknya yang di ambang kebuluran.

Beberapa negara dan organisasi antarabangsa sudah menyalurkan bantuan, namun sistem perbankan yang disekat merumitkan keadaan itu.

Shah Mahmood menyatakan, membuka semula saluran kewangan dan perbankan Afghanistan adalah penting kerana ekonomi negara itu tidak dapat berfungsi jika semuanya disekat.

“Banyak pihak mahu menyumbang kepada Afghanistan, namun mereka enggan melakukannya secara langsung, mereka mahu menyumbang menggunakan mekanisme yang mereka selesa,” jelasnya.

Keadaan yang semakin terdesak di Afghanistan menyaksikan ratusan penduduk beratur untuk membuat pasport sebagai persiapan untuk meninggalkan negara ini bila-bila masa.

 

HALANG DAESH

Dalam pada itu, Amir Khan memberi jaminan bahawa Taliban tidak akan membiarkan Daesh menjadikan Afghanistan sebagai tapak untuk melancarkan serangan keganasan terhadap negara lain.

Selain itu, beliau juga memaklumkan, kerajaan Taliban tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana bekas pegawai kerajaan terdahulu kerana fokus utama ketika ini adalah untuk memulihkan semula Afghanistan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya