MICHIGAN: Ibu bapa kepada mangsa tembakan di Sekolah Tinggi Oxford memfailkan saman berjumlah AS$100 juta (RM421 juta) terhadap pihak sekolah di daerah Michigan, atas alasan insiden keganasan itu dapat dicegah lebih awal.
Lapor AP, saman itu dikemukakan di Mahkamah Persekutuan di Detroit dan Mahkamah Daerah Oakland oleh Jeffrey dan Brandi Franz yang mewakili anak mereka, Riley, yang merupakan senior di sekolah itu yang tercedera dan adiknya, Bella, 14, yang berada di sebelahnya semasa kejadian tembakan itu.
Peguam Geoffrey Fieger yang mewakili keluarga itu berkata, pihak sekolah tidak melakukan langkah pencegahan secukupnya bagi melindungi pelajar serta mengelakkan insiden tembakan.
Tuntutan mahkamah itu merupakan saman sivil pertama berkaitan insiden tembakan pernah dikemukakan di Amerika Syarikat.
Selain pihak sekolah, turut dinamakan dalam tuntutan saman itu ialah Superintenden Tim Throne, pengetua sekolah itu, Steven Wolf, dua kaunselor, dua guru dan staf pentadbiran.
Seramai empat pelajar sekolah terbabit maut selepas seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun melepaskan tembakan dengan sepucuk pistol separa automatik pada waktu tengah hari, minggu lalu.
Suspek, Ethan Crumbley diberkas di sekolah itu dan berhadapan pertuduhan bunuh, keganasan serta jenayah lain.
Dilaporkan, pistol yang digunakan suspek dibeli oleh bapanya sehari sebelum kejadian.
Pagi sebelum kejadian berlaku, pihak sekolah mengadakan pertemuan dengan pelajar itu dan ibu bapanya selepas seorang guru menemukan lukisan mengenai pistol, peluru dan seseorang yang kelihatan ditembak berserta mesej ‘hidup saya tidak berguna’ dan ‘dunia telah mati’.