FLORIDA: Ketika populasi harimau Malaya diancam kepupusan, seekor lagi haiwan itu yang berusia lapan tahun ditembak mati selepas menggigit lengan seorang tukang cuci di dalam kandang di Zoo Naples.
Pejabat Sheriff berkata, pihaknya menemukan harimau Malaya bernama Eko itu dengan lengan tukang cuci tersebut berada di mulutnya.
Pihak berkuasa terpaksa mengambil langkah menembak harimau itu demi menyelamatkan mangsa berusia dalam lingkungan 20an.
“Tukang cuci dari syarikat luar itu diupah oleh pihak zoo yang meletakkan tangannya melalui pagar kandang.
“Lelaki itu berada di kawasan yang tidak dibenarkan dan mungkin cuba membelai atau memberi haiwan itu makanan. Namun, malangnya, dia mengalami kecederaan serius dan dibawa ke hospital.
“Walau apa sekalipun, cubaan untuk membelai atau memberi haiwan itu makanan adalah tidak dibenarkan dan sangat berbahaya,” katanya lapor BBC.
Haiwan tersebut difahamkan berundur ke belakang selepas ditembak, dibius dan disahkan mati.
Eko tinggal di zoo itu sejak awal 2020 selepas pembeliannya dibiayai sebagai usaha menyelamatkan haiwan liar.
Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) mengklasifikasikan harimau Malaya sebagai spesies sangat terancam kerana hanya terdapat kurang 200 haiwan itu di dunia.