Harga minyak terus meningkat, dolar AS lemah  - Utusan Malaysia

Harga minyak terus meningkat, dolar AS lemah 

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik 35 sen atau 0.5 peratus kepada AS$73.11 (RM307.35) setong selepas melonjak 2.3 peratus pada sesi sebelumnya. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Harga minyak meningkat pada Khamis untuk tiga hari berturut-turut disokong oleh dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah berikutan keyakinan terhadap pertumbuhan global, walaupun kerajaan Australia dan Eropah memperketat sekatan perjalanan untuk membendung penularan varian baharu Covid-19, Omicron.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik 35 sen atau 0.5 peratus kepada AS$73.11 (RM307.35) setong selepas melonjak 2.3 peratus pada sesi sebelumnya.

Niaga hadapan minyak mentah Brent juga meningkat 40 sen atau 0.5 peratus kepada AS$75.69 (RM 318.19) setong selepas naik 1.8 peratus pada sesi sebelumnya.

Lapor Reuters, peningkatan yang tinggi pada Rabu sebahagiannya didorong oleh pengeluaran lebih besar daripada jangkaan dalam simpanan minyak mentah AS minggu lepas.

“Dolar AS yang lebih lemah menyokong pasaran minyak kerana ia menjadikan komoditi lebih murah bagi mereka yang memegang mata wang lain.

“Dolar AS jatuh hampir ke paras terendah dalam masa seminggu selepas data pada Rabu menunjukkan keyakinan pengguna AS lebih baik daripada jangkaan pada Disember.

Peningkatan harga minyak telah berlaku walaupun kerajaan mengenakan semula pelbagai sekatan perjalanan untuk membendung penularan Omicron.

Bandar Xian, China pada Rabu telah mengarahkan 13 juta penduduknya untuk tinggal di rumah, manakala Scotland mengenakan had berkumpul mulai 26 Disember selama dua hingga tiga minggu, serta dua negeri di Australia mewajibkan pemakaian pelitup muka semula apabila kes meningkat.

Penganalisis OANDA, Edward Moya berkata, pasaran telah mengetepikan potensi kesan sekatan mobiliti terhadap permintaan bahan api kerana Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) ingin mengkaji semula rancangan mereka untuk menambah 400,000 tong bekalan sehari pada Januari.

“Varian Omicron masih boleh mengakibatkan langkah yang lebih ketat dilaksanakan di seluruh Eropah dan Asia, tetapi harga tidak akan terganggu memandangkan OPEC+ boleh mengubah tahap pengeluaran mereka dengan mudah,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya