Harapkan 'keajaiban' temukan lebih ramai mangsa hidup di Kentucky - Utusan Malaysia

Harapkan ‘keajaiban’ temukan lebih ramai mangsa hidup di Kentucky

DUA penduduk melihat kemusnahan yang berlaku akibat tornado di Mayfield, Kentucky. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAYFIELD: Pasukan penyelamat berusaha sedaya upaya mencari mangsa yang terselamat selepas puluhan tornado membadai enam negeri di Amerika Syarikat (AS). 

Bencana itu mengorbankan sekurang-kurangnya 94 orang serta memusnahkan rumah dan premis perniagaan di enam negeri barat tengah AS.

Meskipun, operasi pencarian giat dilaksanakan, pihak berkuasa mengakui harapan untuk menemukan mangsa terselamat semakin tipis.

Pekan Mayfield di Kentucky dilaporkan terjejas teruk selepas puting beliung besar memusnahkan sebuah kilang lilin, balai bomba dan polis.     

Gabenor Kentucky, Andy Beshear berkata, sekurang-kurangnya 80 orang di negeri itu terkorban dan angka kematian dijangka melebihi 100.

Namun, beliau masih menaruh harapan semoga ada ‘keajaiban’ berlaku walaupun sudah lebih 24 jam tiada mangsa ditemukan hidup di dalam runtuhan tersebut.

“Perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah bersedih bersama sebelum kita bangkit semula dan teruskan kehidupan,” kata Beshear kepada pemberita.

Menurut Beshear, satu tornado melanda sepanjang 365 kilometer (km) kawasan daratan, hampir kesemuanya di Kentucky.   

Dalam pada itu, jurucakap Mayfield Consumer Products, Bob Ferguson berkata, jumlah kematian dilaporkan di kilang lilin itu semakin berkurangan berbanding jangkaan sebelum ini.   

Katanya, daripada jumlah 110 orang yang berada di kilang itu, sebanyak lapan orang disahkan meninggal dunia manakala lapan lagi masih belum ditemukan.

“Beberapa laporan awal mendakwa seramai 70 orang mungkin terkorban di kilang, tetapi kami berasa lega kerana bilangannya semakin berkurangan,” katanya.

 

KEMUSNAHAN DI MERATA TEMPAT

Mayfield, sebuah pekan di barat daya Kentucky dan mempunyai hampir 10,000 penduduk dilaporkan mengalami kemusnahan teruk akibat bencana tersebut.

Kebanyakan rumah runtuh, atap bumbung hilang, pokok tumbang dan papan tanda jalan musnah di hampir seluruh Mayfield.

Wartawan Al Jazeera, Heidi Zhou-Castro yang melaporkan dari Mayfield memaklumkan, keadaan di pekan itu amat teruk sehingga kemusnahan boleh dilihat di mana-mana sahaja.

“Tumpuan mereka ketika ini adalah mencari dari rumah ke rumah kerana dikhuatiri bukan sahaja orang tertimbus di bawah runtuhan kilang tetapi mungkin terdapat mangsa terperangkap di ribuan kediaman yang musnah.

“Namun, kemungkinan untuk mencari mangsa yang masih hidup semakin berkurangan,” ujarnya.

Menurut Zhou-Castro, ramai penduduk dari kawasan lain datang ke Mayfield untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan AS sudah menubuhkan tempat perlindungan dan menghantar anggota serta bekalan termasuk 30,000 pek makanan dan 45,000 liter air.

 

PALING TERUK DALAM SEJARAH NEGERI 

Sementara itu, Beshear menyifatkan bencana tornado itu merupakan paling teruk dalam sejarah negeri tersebut. 

Malah, katanya, ia seteruk sehingga struktur keluli dan batu bata yang paling kukuh pun runtuh akibat bencana itu.

“Kerosakan yang amat besar dan meluas itu menyukarkan lagi usaha dan operasi penyelamatan,” jelasnya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya