JAWA TENGAH: Sepucuk surat tertera mengenai arahan kewajipan menutup aurat oleh golongan wanita bagi membanteras masalah pemerkosaan terhadap wanita dan kanak-kanak di bandar Salatiga tular dalam media sosial.
Surat bertarikh 20 Disember itu dipercayai diedarkan oleh Pasukan Penggerak Pemberdayaan dan Kesejahteraan Keluarga (PKK), Bandar Salatiga, Jawa Tengah.
Lapor Detik.com, Ketua PKK, Titik Kirnaningsih berkata, surat tersebut bermaksud melindungi golongan wanita dan kanak-kanak susulan berlaku kenaikan kes penindasan terhadap mereka.
Jelas beliau, tahun lalu menyaksikan seramai 18 wanita dan kanak-kanak dicabul, diperkosa dan dikasari.
“Tahun ini pula kes meningkat kepada 13 kanak-kanak dan 10 wanita mengalami masalah sama.
“Kebanyakan pelaku jenayah tersebut merupakan individu yang terdekat dengan mangsa. Tahun lalu, terdapat kes cucu menjadi mangsa rogol datuknya semasa ibunya ke hospital,” katanya.
Menurut Titik, surat tersebut mengandungi tiga arahan yang merupakan kewajipan terhadap golongan wanita di bandar itu.
“Pertama, mereka perlu memakai pakaian sopan ketika berada di dalam rumah. Kedua, pemisahan tempat tidur antara lelaki dan perempuan, kecuali bagi suami isteri.
“Ketiga, apabila keluar rumah wajib menutup aurat dan bertudung,” tulis surat itu.