Gara-gara mahu usir ular, pemilik tak sengaja bakar rumah RM7.6 juta - Utusan Malaysia

Gara-gara mahu usir ular, pemilik tak sengaja bakar rumah RM7.6 juta

IADA individu mengalami kecederaan dalam kebakaran tersebut. - PERKHIDMATAN BOMBA DAN PENYELAMAT COUNTY MONTGOMERY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARYLAND: Seorang penduduk di Maryland yang cuba mengusir keluar ular daripada rumahnya dengan menggunakan asap dari bara api, dilaporkan secara tidak sengaja membakar kediamannya.

Tindakan pemilik rumah berkenaan menyebabkan kediamannya bernilai AS$1.8 juta (RM7.61 juta) di Dickerson, Maryland itu hangus dalam kebakaran.

Lapor Daily Mail, pegawai penyiasat berkata, pemilik itu menggunakan arang untuk menyalakan api dalam usaha mengusir reptilia tersebut, namun tanpa disedari meletakkannya terlalu dekat dengan bahan mudah terbakar lalu mencetuskan kebakaran.

Kejadian kebakaran itu berlaku pada 23 November lalu, kira-kira pada pukul 10 malam (waktu tempatan). 

Memetik laporan WJLA, kebakaran bermula di ruang bawah tanah kediaman bertingkat itu sebelum merebak ke seluruh bahagian rumah.

Apabila kira-kira 75 anggota bomba sampai di lokasi kejadian, sebahagian struktur kediaman dan bumbung rumah runtuh dalam kebakaran tersebut.

Pasukan bomba berhadapan kesukaran ketika memadamkan kebakaran kerana ketiadaan pili bomba di hartanah berkenaan. 

Sementara itu, Ketua Jurucakap Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat County Montgomery di Maryland, Pete Piringer berkata, pemilik tidak menyedari rumahnya terbakar selepas menyalakan api pada arang di ruang bawah tanah. 

Dilaporkan, tiada individu yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Kerugian akibat kebakaran dianggarkan mencecah lebih AS$1 juta (RM4.23 juta). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya