NARATHIWAT: Polis menemukan 1.6 tan ganja mampat yang disembunyikan dalam kontena berisi kayu pada treler yang diletakkan di sebuah perkampungan tepi laut di daerah Tak Bai, lewat malam Rabu lalu.
Bangkok Post melaporkan, ganja itu bernilai 50 juta baht (RM6.29 juta) dan dikatakan cuba diseludup masuk ke Malaysia.
Pegawai polis dari Tak Bai dan Pejabat Polis Wilayah serta Polis Marin Sub-Bahagian 7 dihantar ke Ban Kubu di Praiwan sekitar 10.30 malam untuk serbuan susulan maklumat mengenai sejumlah dadah akan diseludup ke Malaysia dengan bot.
Ketika itu, pemandu treler tersebut, Suphat Khathawarat, 37, dari daerah Sukhirin Narathiwat, dan isterinya, Chorpaka Apaisawat, 24, dari daerah Phunphin Surat Thani, sedang duduk di dalam kenderaan itu.
Polis kemudiannya mengeluarkan sebahagian kayu di tempat pertama dan menemukan 20 guni ‘baja ‘mengandungi 1,051 kilogram ganja mampat. Pemeriksaan di tempat kedua menemukan 14 guni lagi mengandungi 629 kilogram ganja.
Mereka merampas sejumlah 1,680 kilogram ganja mampat. Jika diseludup ke Malaysia ia akan bernilai sekurang-kurangnya 50 juta baht, kata polis.
Pasangan itu ditahan dan menghadapi tuduhan dadah.