MAYFIELD: Tornado yang melanda Kentucky bukan sahaja meranapkan banyak harta benda, namun turut ‘menerbangkan’ sekeping gambar berusia 80 tahun sejauh 241 kilometer ke Indiana.
Lapor Daily Mail, Katie Posten, 30, dari New Albany di Indiana menemukan gambar yang diambil pada tahun 1942 itu di cermin hadapan keretanya.
Gambar hitam putih itu memaparkan seorang wanita mengenakan gaun dan skarf di kepala sambil memegang budak kecil yang duduk di atas ribanya.
Pada bahagian belakang gambar itu tertera nama ‘Gertie Swatzell & J.D. Swatzell 1942’ dalam tulisan kursif.
Menurut Posten, dia percaya gambar lama berkenaan merupakan antara serpihan yang diterbangkan oleh tornado ketika bencana alam itu melanda Kentucky.
“Selepas melihat tarikh yang tertera pada gambar itu, saya menyedari ia mungkin datang dari rumah yang di badai tornado.
“Jika bukan diterbangkan tornado, bagaimana ia boleh berada di cermin kereta saya?, Soalnya.
Posten kemudian memuat naik gambar itu di laman media sosial untuk mengesan pemiliknya.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki dikenali sebagai Cole Swatzell dari Dawson Springs di Kentucky menghubungi Posten dan memaklumkan gambar tersebut adalah milik keluarganya.
Posten bercadang untuk menyerahkan gambar itu semula kepada keluarga Swatzell pada minggu ini.