Eropah jadi lubuk penularan Omicron - Utusan Malaysia

Eropah jadi lubuk penularan Omicron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EROPAH: Perancis kini mencatatkan jumlah kes harian Covid-19 tertinggi di Eropah ketika negara-negara di seluruh benua itu turut bergelut untuk membendung varian Omicron.

Selasa lalu, Perancis merekodkan sebanyak 179,807 kes baharu dan situasi sama turut berlaku di Itali, Greece, Portugal dan England yang melaporkan rekod tertinggi.

Walaupun begitu, berkemungkinan angka-angka itu meningkat disebabkan sebahagian kes dilaporkan lewat susulan sambutan Krismas.

Banyak negara Eropah melaporkan peningkatan jumlah kes yang mendadak menjelang tempoh perayaan selain didorong dengan varian Omicron yang semakin menular.

Berdasarkan kajian, Omicron kurang merbahaya berbanding varian Delta kerana 30 hingga 70 peratus pesakit yang dijangkiti varian Omicron tidak perlu ke hospital untuk rawatan.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran lonjakan kes di seluruh Eropah akan mendorong sistem kesihatan ke ambang kehancuran.

Menurut kemaskini Covid mingguan WHO yang diterbitkan Selasa lalu, jumlah jangkitan Covid-19 meningkat sebanyak 57 peratus di Eropah, minggu sebelum 26 Disember dan sebanyak 30 peratus di rantau Amerika.

Sementara itu, Isnin lalu, Menteri Kesihatan Perancis, Olivier Véran memberi amaran datanya menjangkakan peningkatan kes sehingga 250,000 kes sehari, awal Januari tahun depan.

Persekutuan Hospital Perancis pula melahirkan kebimbangan mengenai minggu-minggu sukar yang bakal ditempuhi.

Perdana Menteri Perancis, Jean Castex mengumumkan sekatan baharu awal minggu ini termasuk pekerja wajib bekerja dari rumah sekurang-kurangnya tiga hari seminggu bagi mereka yang boleh bermula awal Januari depan.

Pelancaran dos penggalak negara itu juga meningkat dengan lebih 23 juta individu menerima suntikan vaksin penggalak sehingga kini.

ITALI PECAH REKOD

Di Itali, jangkitan Covid-19 mengatasi 78,000 kes dan mencecah rekod baharu sejak permulaan wabak itu.

Negara itu juga merekodkan 202 kematian, sekali gus menjadikan jumlah kematian keseluruhan kepada 136,753.

Susulan itu, Itali bertindak mengharamkan sebarang penganjuran acara luar dan menutup kelab malam, namun tiada sekatan ke atas perhimpunan persendirian.

Portugal pula mencatatkan jumlah baharu sebanyak 17,172 kes, Selasa lalu yang didakwa meningkat daripada jumlah keseluruhan ujian pada Isnin.

GREECE MINTA RAKYAT BERTENANG

Menteri Kesihatan Greece, Thanos Plevris meminta rakyatnya bertenang selepas negara itu melaporkan 21,657 kes baharu Covid-19.

Sementara, Cyprus juga merekodkan rekod tertinggi jangkitan sehari, dengan 2,241 kes baharu.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan di England melaporkan rekod 117,093 kes.

Bagaimanapun, data penuh Covid-19 di seluruh Britain sepanjang tempoh sambutan Krismas belum disediakan.

Dalam situasi beberapa bandar termasuk Paris, London dan Berlin membatalkan sambutan Tahun Baru 2022 secara rasmi, beberapa kerajaan dilihat kurang bersedia untuk melaksanakan sekatan di seluruh negara.

Penduduk di Perancis dan England diminta mengutamakan kesihatan dan keselamatan diri, manakala, bagi perayaan di ibu kota Sepanyol, Madrid akan diteruskan dengan mengehadkan bilangan hadirin di dataran Puerta del Sol

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya