WASHINGTON: Keputusan majalah Time untuk menamakan hartawan terkemuka, Elon Musk sebagai Person Of The Year bagi tahun ini dikecam hebat di Amerika Syarikat (AS).
Malah, para pengkritik berpandangan tindakan menobatkan Pengasas SpaceX itu dilihat sebagai pilihan paling buruk yang pernah dilakukan.
Lapor The Guardian, Musk dikritik kerana pendiriannya terhadap beberapa perkara antaranya isu cukai, menentang kesatuan sekerja dan meremehkan kesan pandemik Covid-19.
“Anugerah kali ini menerima kritikan hebat di AS.
“Musk merupakan tokoh kontroversi kerana sikapnya terhadap cukai, menentang `cukai bilionair’ yang diapungkan oleh sesetengah pihak,” jelas laporan itu.
Berdasarkan siasatan Propublica, Musk bersama beberapa individu kaya yang terkenal hanya membayar kadar cukai yang rendah berbanding peningkatan ketara dalam jumlah kekayaan diperolehi antara tahun 2014 dan 2018.
Sementara itu, Senator Elizabeth Warren secara sinis menyifatkan keputusan majalah Time itu menekankan keperluan untuk mengubah kod cukai.
“Jadi, tokoh pada tahun ini sebenarnya akan membayar cukai dan berhenti daripada menggunakan wang orang lain,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Menurut Robert Reich yang merupakan bekas setiausaha buruh di pentadbiran Clinton, pengumuman itu dilihat sebagai tepat pada masanya untuk mengingatkan rakyat mengenai tindakan pernah dilakukan Musk terhadap golongan pekerja.
“Beliau pernah mengugut untuk mengambil opsyen saham sekiranya pekerja menjadi ahli kesatuan sekerja,” katanya.
Musk yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc berjaya mengatasi Pengasas Amazon, Jeff Bezos apabila mencatatkan nilai kekayaan AS$297 bilion (RM1.25 trilion) sekaligus menempatkan dirinya pada tempat pertama individu paling kaya di dunia.
Gelaran Person Of The Year sebelum ini diberikan kepada individu antaranya golongan paus, petugas kesihatan Ebola dan aktivis. – AGENSI